Perkara-perkara penting mengenai FN Frasa nama

FN yang berfungsi sebagai predikat ayat tidak boleh menerima kehadiran kata bilangan dan penjodoh bilangan.

(18) contoh:

a. *Beliau seorang Pengarah Pendidikan Negeri.b. *Ahmad seorang guru.c. *Budak itu seorang murid saya.

Sebaliknya FN yang berfungsi sebagai predikat ayat mempunyai ciri FK, iaitu ia boleh menerima kehadiran kala. Contohnya ialah (19a-c) yang berikut:

(19) contoh:

a. Kamu akan dewasa suatu hari nanti.b. Siti sudah remaja.c. Mereka masih suami isteri.

Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui mengenai FN yang berfungsi sebagai predikat ayat adalah berkenaan penggunaan kata pemeri “ialah”. Dalam ayat yang predikatnya ialah FN (berhuruf tebal), “ialah” boleh disisipkan antara subjek dengan predikat. Contohnya ialah (20a-c) yang berikut:

(20) contoh:

a. Beliau ialah pelajar universiti.b. Kucing ialah haiwan kesayangan.c. Itu ialah rumah tradisional Melayu.

Dalam (20), “pelajar universiti”, “haiwan kesayangan” dan “rumah tradisional Melayu” ialah FN yang masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat (20a), (20b) dan (20c). Oleh sebab itu, kata pemeri “ialah” boleh hadir di hadapan FN ini. Sebaliknya satu lagi kata pemeri, iaitu “adalah”, tidak boleh hadir dalam ayat sebegini (berpredikat FN).

(20) contoh:

a’. *Beliau adalah pelajar universiti.b’. *Kucing adalah haiwan kesayangan.c’. *Itu adalah rumah tradisional Melayu.

Perkara seterusnya adalah mengenai penggunaan kata relatif “yang” dalam pembentukan sesuatu FN. Ada kalanya kehadiran kata relatif itu adalah wajib untuk membentukkan FN (berhuruf tebal) yang gramatis. Contohnya (21a-b) yang berikut:

(21) contoh:

a. Ikan mengandungi protein yang banyak.b. Orang yang suka membaca luas pengetahuan.

Dalam (21), kehadiran “yang” dalam pembentukan FN “protein yang banyak” dan “orang yang suka membaca” adalah wajib. Tanpa kehadirannya, FN yang dibentukkan, iaitu “protein banyak” (21a’) dan “orang suka membaca” (21b’), adalah tidak gramatis. Sebagai akibatnya ayat yang dijana (21a’-b’) juga tidak gramatis.

(21) contoh:

a’. *Ikan mengandungi protein banyak.b’. *Orang suka membaca luas pengetahuan.

Ada kalanya pula kehadiran “yang” boleh menghilangkan kejanggalan dalam pembentukan FN (berhuruf tebal). Contohnya ialah (22a-b) yang berikut:

(22) contoh:

a. ?Rumah sangat besar itu tidak berpenghuni.b. Rumah yang sangat besar itu tidak berpenghuni.

Dalam (22), ayat (22a) agak janggal tanpa kehadiran “yang”. Kehadiran “yang” dalam ayat (22b) dapat menghilangkan kejanggalan ini.

Ada kalanya pula penggunaan “yang” tidak mempunyai kesan dari segi kegramatisan FN yang dibentukkan. Oleh itu FN (berhuruf tebal) dan seterusnya ayat yang dijana tetap gramatis sama ada dengan atau tanpa kehadiran “yang”. Contohnya ialah (23a-b) yang berikut:

(23) contoh:

a. Rumah besar itu tidak berpenghuni.b. Rumah yang besar itu tidak berpenghuni.

Kedua-dua FN iaitu “rumah besar itu” dan “rumah yang besar itu” adalah gramatis. Sebagai hasilnya kedua-dua ayat (23a-b) yang dijana juga gramatis.

Walau bagaimanapun ada kalanya penggunaan “yang” akan menyebabkan FN (berhuruf tebal) yang dibentukkan tidak gramatis. Contohnya ialah (24a-b) yang berikut:

(24) contoh:

a. Budaya suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.b. *Budaya yang suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.

Dalam ayat (24a), FN “budaya suka membaca” adalah gramatis, lalu menghasilkan ayat yang gramatis juga. Sebaliknya ayat (24b) tidak gramatis kerana FN “budaya yang suka membaca” tidak gramatis.